Pernah ditahan atas dakwaan mengedar dadah, pelakon Aidil Aziz menyifatkan dunianya terasa gelap ketika dalam penjara sehingga menjadi tertekan kerana tidak tahu apa perlu dilakukan! Alahai, sabar yer Aidil...
Katanya, nasihat yang diterima daripada salah seorang hamba Allah memberi kekuatan kepadanya untuk kembali bangkit.
"Saya menangis dan keliru. Apa akan saya jawab dengan keluarga? Bagaimana saya mahu berdepan dengan masyarakat? Saya tidak reda dengan takdir yang tertulis.
"Ketika saya keliru, seorang hamba Allah datang dan memberitahu, saya tidak mungkin mampu menjaga hati semua orang. Tetapi jika saya menjaga hubungan dengan Allah, Dia pasti akan menjaga saya. Kata-katanya itu menaikkan semula semangat saya.
"Penjara umpama tempat saya kembali menyucikan diri. Saya ambil peluang mendekatkan diri kepada Allah. Paling penting, solat lima waktu dijaga dengan baik dan tidak melihat sebarang bentuk maksiat," katanya.
Pada 24 September 2016, Aidil bersama dua yang lain ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 atas dakwaan mengedar dadah jenis ganja seberat 465.61 gram yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati.
Pelakon yang popular menerusi drama Lara Terindah itu bagaimanapun, dibebaskan mahkamah pada Disember 2016.
Beralih kepada perjalanan kerjaya seninya, Aidil bersyukur dirinya masih diterima biarpun pernah dilanda kontroversi hangat.
"Apa yang berlaku memberi pengajaran supaya saya lebih bijak dan berhati-hati memilih kawan. Saya juga lebih menghargai ibu bapa kerana mereka sentiasa menyokong dan tidak pernah meminggirkan saya," katanya.
Turut terbabit dengan perniagaan mangga asam boi, Kingmangifera, Aidil baru melunaskan penggambaran sitkom Mami Mamu Gosip dan Cinta Lemon Madu untuk siaran TV3.
Sumber: BH Online
Sumber: BH Online

Comments
Post a Comment