Saya belum sempurna - Norkhiriah



Kredit: Suhaizasadri

Pelakon Norkhiriah berharap permintaan dia agar drama lakonannya sebelum menutup aurat tidak lagi diulang siar tidak disalah anggap. Wanita berusia 40 tahun ini memberitahu, permintaan itu dibuat kerana dia berasa takut akan dosa yang perlu ditanggung apabila orang lain melihatnya dalam keadaan tidak menutup aurat.

"Maafkan saya andai kata permintaan itu di luar kemampuan yang tidak sepatutnya dan andai ada terasa hati.

"Itu aurat saya, dosa saya... Saya mungkin tiada hak untuk menyekat tetapi dengarlah suara hati saya.

"Saya belum sempurna namun saya takut akan murka Allah daripada murka manusia," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Terdahulu, Norkhiriah menerusi Instagram miliknya ada meninggalkan komen meminta stesen televisyen tidak lagi mengulang siar drama lakonannya selain perkara berkaitan ketika dia belum menutup aurat.

Bagaimanapun pelakon drama Bedah Tong Gas ini memadam komen kerana ingin mengelakkan salah faham dalam kalangan pengikutnya.

Dalam pada itu, Norkhiriah berkata, dia sendiri berasa malu melihat penampilannya sebelum ini namun sedar ia adalah satu proses pembelajaran.

"Saya sendiri tengok aurat saya, Masya-Allah kenapalah begitu rupanya tapi bila difikirkan tiada salah tak datang betulnya.

"Ketika rambut saya mengerbang, maafkan saya. Saya jahil lagi hina, saya pendosa yang ingin ke syurga.

"Kata orang yang lama jangan dikenang maka harap tiada lagi yang diulang tayang selepas ini," ujarnya.

Sementara itu, Norkhiriah yang pernah mengeluarkan kenyataan ingin meninggalkan dunia seni memberitahu kenyataan dibuatnya itu satu kesilapan.

Ini kerana kata Norkhiriah, lakonan masih tersemat dalam jiwanya dan apa diluahkan sebelum ini adalah datang daripada perasaan kecewa.


"Saya belajar satu perkara jangan buat keputusan ketika dalam keadaan marah dan apabila saya cakap nak berhenti berlakon ia adalah satu kesilapan.

"Lakonan sudah sebati dalam diri saya selepas 20 tahun bergelar pelakon dan perasaan rindu hendak kembali ke set penggambaran itu sentiasa ada," katanya.


Sumber: Mstar Online 


Comments